Wednesday, May 20, 2009

Penagihan Dadah Sintetik Ancaman Baru Yang Membimbangkan


PAPAR, 17 Mei 2009: Pergerakan Pemuda UMNO Papar mencadangkan agar semua pihak bangkit untuk memerangi gejala penyalahgunaan dadah khususnya dadah jenis sintetik. Ini adalah kerana tanpa disedari oleh umum penagihan dadah jenis sintetik atau yang disifatkan sebagai dadah rekreasi seperti syabu, ecstasy dan ketamin kini berada pada tahap yang amat serius dan membimbangkan.
::
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Papar, Armizan Mohd Ali, berkata satu gerakan masyarakat sivil perlu dihidupkan secara agresif dalam memerangi gelaja penagihan dadah dengan menjadikan dadah jenis sintetik sebagai fokus. Gerakan besar-besaran sebagaimana ketika kerajaan mula mengisytiharkan dadah sebagai ancaman keselamatan Negara pada tahun 1983 perlu dihidupkan semula.
::
“Strategi dan pendekatan yang bersesuaian perlu dirangka dengan tujuan untuk memberikan kefahaman dan kesedaran kepada seluruh anggota masyarakat tentang bahaya penagihan dadah sintetik.
::
“Memandangkan dadah jenis ini sering dikaitkan dengan hiburan, masyarakat mungkin tidak mengetahui bahawa kesan penyalahgunaan dadah sintetik kepada seseorang penagih adalah jauh lebih buruk” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan dalam Majlis Perasmian Program Pencegahan Jenayah di Dewan Serbaguna Kg. Kawang, Papar baru-baru ini.
::
Program tersebut adalah anjuran bersama Pergerakan Pemuda UMNO Papar dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan Majlis Perasmiannya telah disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Hj. Gulamhaidar Khan Bahadar yang juga merupakan Timbalan Ketua UMNO Bhg. Papar dan ADUN Kawang.
::
Turut hadir Ketua Poli Daerah Papar, DSP Nek Zaidi Zakaria, Pegawai Daerah Papar, Iman Ali, Naib Ketua UMNO Bhg. Papar, Juil Nuatim dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bhg. Papar, Roslie Ibrahim.
::
Armizan berkata, berbeza dengan penagihan dadah tradisional, sehingga kini belum ada kaedah rawatan yang ditemui untuk penagihan dadah sintetik khususnya apabila penagihan berada pada tahap yang sudah lama.
::
“Semua pihak perlu bergabung tenaga untuk membantu agensi kerajaan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk bangkit memerangi gejala ini yang banyak menyumbang kepada pelakuan kes-kes jenayah lain sekali gus menjadi satu ancaman besar kepada keselamatan negara,’tambahnya.
::

Nota : Futej penuh foto aktiviti di atas akan disiarkan tidak lama lagi


::KPP::




1 comment:

  1. Ini satu perkembangan yang positif. Saya sangat-sangat menyokongnya. Masalah ini tidak dapat disangkal lagi. Teramat membimbangkan,terutama di kawasan daerah kita (skop yang lebih kecil).Di samping memberi kesedaran kepada masyarakat dengan pendekatan yang sesuai, bagi saya "Tauke Besar" atau "pengedar" benda ini pun perlu "dicekup","diperangi", "digempur" dan perkataan yang membawa erti yang sama atau hampir dengannya. Inilah "mastermind" dalam semua permasalahan ini di samping tabiat masyarakat yang suka mencuba. Ini cuma pendapat orang biasa tuan.Namun begitu, sebagai individu yang hidup dalam masyarakat, saya sedar saya dan masyarakat lain juga memegang amanah ni. Kesimpulannya, ini tanggungjawab kita bersama, pendek kata "bantu semampu yang kita boleh".

    ReplyDelete