Sunday, May 17, 2009

Pemuda Papar Cadang Kriteria KPI Menteri Ambil Kira Sumbangan Kuatkan Parti


Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Papar menyeru para pemimpin parti yang menyandang jawatan dalam kerajaan di semua peringkat agar tidak membelakangkan parti sehingga rakyat tidak dapat melihat peranan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pelaksanaan dasar dan program kerajaan.

Perkara ini disuarakan oleh Ketuanya, Armizan Mohd Ali dalam ucapan pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Cawangan-Cawangan Pemuda UMNO Bahagian Papar semalam 16 Mei 2009. Beliau berkata sudah tiba masanya pemimpin Kerajaan, sama ada di peringkat nasional dan negeri termasuklah wakil-wakil rakyat agar sentiasa mencari ruang yang bersesuaian untuk membawa bersama nama parti dan menonjolkan peranan penting parti dalam penggubalan dan pelaksaan sesuatu dasar atau program.

“Setelah lebih 50 tahun negara merdeka dan sepanjang tempoh itu Kerajaan BN memegang kuasa pemerintahan, rakyat khususnya generasi muda melihat bahawa kemakmuran dan pembangunan pesat yang kita nikmati pada hari ini adalah sekadar kejayaan pelaksanaan tanggungjawab kerajaaan, tanpa menyedari bahawa teras kepada kejayaan itu adalah kerana kerajaan kita dipimpin oleh BN.

“Apa yang membimbangkan, sudah ada trend pemikiran bahawa mana-mana pihak pun yang memegang tampuk pemerintahan akan dapat membawa arus pembangunan dan kestabilan yang sama sehingga mereka tidak dapat melihat kepentingan untuk mengekalkan UMNO dan BN sebagai tunggak kerajaan. Lebih menyedihkan apabila parti hanya dilihat sebagai tempat untuk mereka yang ingin merebut dan mengejar jawatan,”katanya.

Menurut Armizan, inilah antara kegagalan kita dalam mengurus kejayaan yang kita cipta sendiri. Kita hanya menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja kerajaan sehingga meninggalkan parti di belakang. Rakyat tidak dapat melihat peranan penting yang dimainkan oleh UMNO dan BN di sebalik kejayaan demi kejayaan yang ditempa oleh kerajaan.

Namun sebaliknya, apabila berlaku sesuatu kelemahan dalam pelaksanaan tanggungjawab kerajaan, kesalahan itu dengan mudah diletakkan kepada parti sehingga jentera partilah yang terpaksa menepis dan menjawab segala tohmahan.

“Sebelum terlambat, sudah tiba untuk kepimpinan parti melihat keperluan untuk melaksanakan perubahan dalam strategi dan pendekatan kerajaan kita digerakkan di semua peringkat. Antaranya Pemuda Papar mencadangkan kriteria penentuan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) setiap Menteri yang diperkenalkan oleh kerajaan turut mengambil kira bagaimana kebijaksanaan setiap penyandang jawatan dalam menonjolkan peranan parti dalam sebarang penambahbaikan yang mereka laksanakan di setiap kementerian dan sekali gus dapat menguatkan kedudukan parti di sehingga ke akar umbi”.

“Pendekatan ini juga perlu dipanjangkan kepada kepimpinan kerajaan di setiap negeri. Perlu diingat semua pemimpin terlibat berada pada kedudukan masing-masing kerana amanah yang diberikan oleh parti,”tambahnya.

Armizan menambah, ini tidak sekali-kali bermakna kita hanya berfikir dalam kepompong parti dan membelakangkan rakyat kerana hakikatnya parti UMNO dan BN ini adalah parti yang lahir daripada rakyat dan khidmatnya adalah untuk rakyat. Apa yang kita mahukan adalah melalui pendekatan baru ini rakyat akan lebih menghargai dan merasai nilai dan makna perjuangan UMNO dan BN melalui kerajaan.

Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Cawangan-Cawangan Pemuda UMNO Papar telah disempurnakan oleh Sdr Shahrul Zaman Dato’ Yahya, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pertahanan Malaysia. Turut hadir adalah YB Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Papar, En Juil Nuatim, Naib Ketua UMNO Bahagian Papar dan Sdr Roslie Ibrahim, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Papar.

:::::::::::

Nota - Laporan susulan bergambar Majlis Perasmian ini akan disiarkan tidak lama lagi

::KPP::

No comments:

Post a Comment