Thursday, April 30, 2009

Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan 2008

Pergerakan Pemuda Umno Papar membuka tahun 2009 dengan program berintikan pendidikan. Pada 10 Januari 2009 Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan 2008 telah dizahirkan yakni khusus untuk memberi anugerah kepada para pelajar UPSR dan PMR yang mendapat pencapaian cemerlang pada tahun 2008.


Ketua Pemudanya, Sdr Armizan Mohd Ali berhasrat menjadikan program ini sebagai acara tahunan dalam usaha mengiktiraf mereka yang cemerlang supaya terus cemerlang dan dalam masa yang sama menanamkan budaya cemerlang di kalangan pelajar di Parlimen Papar khususnya.

Pada tahun lepas, program ini dilaksanakan oleh Sdr Amir atas sifatnya sebagai Pengerusi Biro Pendidikan dan kali ini pelaksananya juga adalah Biro yang sama dengan dipengerusikan oleh Sdr Aiddie Hj Dahlin dan Timbalan Pengerusinya Sdr Boniface Huang.

Urusan persediaan pra dan pasca majlis dipermudahkan dengan kerjasama AJK Pemuda Bahagian dan Gabungan Cawangan-cawanga Pemuda dari Kg Pengalat Besar.

Majlis yang bermula jam 2:00 petang itu dirasmikan oleh YB Datuk Hj Abd Rahim Ismail iaitu Ketua Umno Bahagian Papar merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N.22 Pantai Manis.

Selain daripada 58 pelajar cemerlang dan guru-guru sekolah yang terlibat serta ibu-bapa masing-masing, antara jemputan yang hadir ialah En Iman Ali (Pegawai Daerah), En Salleh Hj Idris ([mantan] Pegawai Pelajaran Daerah Papar), En Abidin Marjan ([kini] Pegawai Pelajaran Daerah Papar), En Juil Nuatim (Pemimpin Kemajuan Rakyat DUN N.21 Kawang merangkap Naib Ketua Bahagian Umno Papar), Datin Dgku Ainon Pg Bagul (Ketua Wanita Umno Bahagian Papar), dan Cik Suriati Adam (Ketua Puteri Umno Bahagian Papar).




Turut meluangkan masa dalam acara bermakna itu ialah kalangan AJK Induk Bahagian, AJK Wanita dan AJK Puteri Umno Bahagian Papar.


Majlis juga diserikan dengan persembahan koir oleh Kumpulan Koir Pelajar SMK St Joseph Papar yang telah mencatat nama di peringkat kebangsaan dengan berjaya meraih gelaran dalam pertandingan-pertandingan di peringkat nasional.



Selain menerima imbuhan tunai dan sijil yang ditandatangani oleh (mantan) Menteri Pelajaran Malaysia YB Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, nama-nama 29 pelajar UPSR dan 29 pelajar PMR itu juga dipampangkan melalui satu billboard/papan tanda di suatu lokasi strategik di Pekan Papar.
Papan tanda yang kosnya ditaja oleh Pergerakan Pemuda Umno Papar telah diberi ihsan untuk berdiri selama 30 hari oleh Majlis Daerah Papar yang sudi bermurah hati untuk tidak mengenakan apa-apa caj komersil.
Tahniah kepada semua pelajar dan terima kasih kepada semua pihak yang telah sama-sama menjayakan program yang sangat bererti dalam aspek kemajuan pendidikan ini.
Kelihatan dalam foto ini PSU sedang memimpin jamuan sambil diawasi oleh Penolong Bendahari supaya apa yang dijamah Pemuda tidak melebihi kos.
Ketua Bahagian dan Naibnya sedang berbicara sesuatu sebelum program bermula.

Ketua Pemuda bersama beberapa ahli Pemuda dari Kg Pengalat Besar sedang melayan Pegawai Daerah dan Pemimpin Kemajuan Rakyat DUN Kawang sementara menunggu Tetamu Khas.


Dua orang AJK Pemuda yang akan meninggalkan Pergerakan pada penggal akan datang sedang mengabadikan kenangan di hadapan 'back-drop' seolah-olah merekalah yang paling bekerja-keras untuk menjayakan majlis. padahal...


Pengerusi Tetap Persidangan merangkap Pengerusi Majlis dikawal ketat oleh dua orang pengawal peribadinya.


AJK Pemuda Bahagian bersama ahli-ahli peringkat cawangan sama-sama bekerja keras tanpa mengira jawatan.


Ahli-ahli Pemuda peringkat cawangan sedang dengan sabar mendengar kelentong Ketua Pemuda.


Tahukah anda bahawa rekaan pentas ini adalah hasil kerja-tangan seorang 'jantan'? Yup! Siapa lagi kalau bukan Sdr Nazri Ugun Timb. Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda Umno Papar.


::KPP::

Friday, April 24, 2009

Pemuda Sapat: Program Ke Ambang 2009

Tarikh 31 Dis 2008 sudah tentu menjadi hari yang amat bersejarah bagi Gabungan Pemuda Umno Kg Sapat yang bekerjasama erat dengan Kumpulan Rukun Tetangga kampung berkenaan.

Pada hari itu kedua-dua entiti telah berjaya melaksanakan kemuncak program kemasyarakatan sementara menutup tirai 2008 dan menyambut tibanya hari pertama tahun 2009.

Usaha berbaloi ini telah melihat bagaimana penduduk kampung yang 'sporting' keluar beramai-ramai untuk sama-sama memeriahkan Program Ke Ambang 2009.

Majlis ini dirasmikan oleh Naib Ketua Pemuda Umno Papar Sdr Roslie Hj Ibrahim yang tiba bersama rombongan kepimpinan Pemuda Bahagian termasuklah Sdr Mohd Rosli Ibrahim (Penolong Setiausaha), Sdr Sahrum Datuk Hj Abuali (Penolong Bendahari), Sdr Fazil Ali (Ketua Penerangan), Sdr Anuar Matlin (AJK), Sdr Hassan Sulaiman (AJK), Sdr Rashid Tahir (AJK) dan Sdr Abd Latip Jetun(AJK).



Sdr Abd Rahim Aliuddin iaitu AJK Pemuda Bahagian merangkap Ketua Pemuda Cawangan Kg Sapat Laut menjadi hos pada malam itu bersama-sama dengan Sdr Ghanilin Hj Hashim yang merupakan Pengerusi KRT Kg Sapat.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pengerusi JKKK Kg Sapat iaitu Ayahanda Ibrahim Dul.




Dengan kerja keras ahli-ahli Pemuda Umno beberapa cawangan di Kg Sapat maka majlis berjalan dengan lancar dengan pelbagai acara kemuncak dapat diadakan pada malam tersebut.


Dalam ucapannya Sdr Roslie berharap agar usaha Pemuda Gabungan Kg Sapat ini dapat dicontohi oleh para Pemuda di kampung-kampung lain dalam menghidupkan suasana perpaduan dan muhibah dalam kampung.
Sementara itu pada mengulas ucapan Pengerusi JKKK yang memberi imbauan kemajuan di Kg Sapat yang telah dibawakan oleh Kerajaan BN melalui wakil-wakil rakyatnya, Sdr Roslie berkata sokongan yang telah diberikan oleh penduduk Kg Sapat kepada wakil rakyat DUN Kawang YB Datuk Hj Gulamhaidar Khan Bahadar (Pembantu Menteri Kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah) dan Ahli Parlimen Papar YB Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin (kini Timb. Menteri Kesihatan Malaysia) hendaklah diteruskan.
Ini, katanya, bagi menjamin kesinambungan pembangunan yang berterusan.
::KPP::

Santai Di Benoni

Pada 22 Nov 2008, pasukan kepimpinan baru Pemuda Umno Papar telah dijemput ke majlis Santai Pemuda di kawasan Benoni di rumah Sdr Mohd Rosli Ibrahim, Penolong Setiausaha Pemuda Umno Papar.
Majlis Santai Pemuda di Benoni ini adalah julung-julung kali program bersama Pemuda akar-umbi selepas Mesyuarat Tahunan yang berlangsung pada 25 Okt 2008.

Oleh itu peluang ini telah diambil oleh Ketua Pemuda Sdr Armizan Mohd Ali dan Naib Ketua Pemuda Sdr Roslie Hj Ibrahim untuk turun bersama-sama dengan rombongan Jawatankuasa Sesi 2008-200?, untuk mengukuhkan jalinan kemesraan dengan Pemuda di Benoni.

Ini merupakan salah satu pendekatan kepimpinan baru untuk terus merapatkan hubungan sesama ahli di bawah agar mereka tidak berasa yang mereka hanya diperlukan pada musim tertentu sahaja.

Turut hadir dalam program itu ialah Pengerusi Tetap Persidangan Pemuda Umno Papar yang baru iaitu Sdr A Bahrudin Ag Lampuh dan AJK Pemuda Umno Papar yang baru dipilih iaitu Sdr M Jaya Kassim yang kedua-duanya juga adalah anak jati Kg Benoni. ::KPP::

Mesyuarat AJK Ke-II

Pada 21 Dis 2008, Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Papar telah mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa yang ke-2. Ianya berlangsung di Kediaman Ustazah Hjh Richemjan Khan Bahadar di Kg Santing Pengalat Besar Papar.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Ketua Pemuda Sdr Armizan Mohd Ali di samping kehadiran hampir penuh semua Ahli Mesyuarat termasuk Sdr Roslie Hj Ibrahim yang juga Naib Ketua Pemuda, Sdr Mohd Roslie Ibrahim (Penolong Setiausaha), Sdr Sahrum Datuk Hj Abuali (Penolong Bendahari) dan Sdr Fazil Ali (Ketua Penerangan Pemuda).

Banyak perkara yang dibincangkan termasuk agenda program-program akar-umbi yang dicadang dan dilelaskan. Antara program terdekat ialah "Anugerah Pelajar Cemerlang 2008" yang disasarkan sebagai salah satu program tahunan Pemuda Papar.

Ketua Pemuda juga dalam ucapannya, antara lain, menegaskan semula akan pentingnya JK Pemuda menjadi pengemudi dan penggerak program-program di akar-umbi agar Umno itu terus relevan di hati masyarakat.

Kelihatan KP sedang mempengerusikan mesyuarat sambil menjawab panggilan telefon dari Putrajaya, manakala ahli-ahli Mesyuarat sedang tekun membaca Minit Mesyuarat


::KPP::

Futsal Anjuran Pemuda Umno Tuaran




Pada 13 Dis 2008, Pemuda Umno Papar telah menghantar satu pasukan Futsal atas jemputan Pergerakan Pemuda Umno Tuaran di bawah kepimpinan baru mereka iaitu Sdr Kassim Hj Razali.

Memandangkan notis yang suntuk, maka Pemuda Papar hanya dapat menghantar pemain-pemain 'bukan-pilihan', yakni terdiri daripada kalangan AJK sendiri.

Ciri-ciri 'bukan-pilihan' ini tampak jelas jika kita melihat fizikal di gambar atas di mana ketidaksediaan para pemain berkenaan kelihatan di kawasan perut dan posture 'tidak cergas'.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Pemuda Papar - yang mana rombongan diketuai oleh Sdr Mohd Rosli Ibrahim, Penolong Setiausaha Pemuda - datang untuk kalah pada game sehari itu tetapi yang lebih penting kami datang untuk menang dalam penyertaan.

Yang nyata kami berjaya menyambut laungan Pemuda Tuaran untuk sama-sama memperkukuhkan silaturrahim di kalangan komuniti se-Pemuda Umno yang sempat hadir terdiri daripada 8-Bahagian iaitu Tuaran, Papar, Penampang, Kota Marudu, Kota Belud, Kudat dan Beaufort.

Istimewanya, pasukan ke-9 adalah pasukan Tetamu Kehormat yang dipimpin oleh YB Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir (mantan) Exco Pemuda Umno Pusat merangkap (mantan) Pengerusi Biro Ehwal Antarabangsa Pemuda Umno Pusat.
Pengurus pasukan Pemuda Papar yang gagal menjaringkan sebarang gol dan gagal menang - Rosli PSU - ialah yg duduk di tengah-tengah. Beliau yang memang selalu tenang dan steady juga telah gagal mencari alasan yang kukuh untuk menjustifikasikan pembelian satu set jersi baru bagi diajukan kepada Ketua Pemuda apabila ditanya tentang kegagalan menjaringkan sebarang gol oleh pasukan.

Apa sekalipun, Pemuda Umno Papar telah membuktikan semangat berpasukan dan kerjasama yang tinggi. Salah satu buktinya ialah selepas tamat game berkenaan, kami masih mempunyai selera yang menakjubkan kerana berjaya makan malam berlauk ikan bakar pelbagai jenis di salah sebuah kedai makan di Sinsuran.
Bukti yang paling kukuh ialah kami Pemuda Umno Papar telah memanifestasikan hari itu bahawa Umno bukanlah parti elit tetapi parti yang datang dari akar-umbi dan senang bergaul dengan akar-umbi.
::KPP::

Thursday, April 23, 2009

Mesyuarat AJK Pertama & Pelantikan Pegawai Serta Biro

Pergerakan Pemuda Umno Papar telah mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa yang Pertama pada 23 Nov 2008 di Bilik Mesyuarat Beringis Beach Resort, Papar.




Selepas ucapan Pengerusi Mesyuarat iaitu Sdr Armizan Mohd Ali yang juga Ketua Pemuda, mesyuarat diteruskan dengan pengumuman pelantikan para pegawai dan seorang Ahli Jawatankuasa tambahan.

Senarai para pegawai yang dilantik ialah Sdr Mohd Rosli Ibrahim sebagai Penolong Setiausaha Pemuda, Sdr Sahrum Datuk Abuali (Penolong Bendahari Pemuda) dan Sdr Mohd Fazil Mohd Ali (Ketua Penerangan Pemuda). Manakala AJK yang dilantik pada Mesyuarat Khas JK I itu ialah Sdr Boniface Huang.

Ahli-ahli Jawatankuasa kemudiannya mengangkat sumpah kesetiaan dan kerahsiaan terhadap parti Umno. Majlis disaksikan oleh Ketua Pemuda dan Sdr Roslie Hj Ibrahim Naib Ketua Pemuda.

Mesyuarat juga melantik Pengerusi/Naib Pengerusi Biro-biro dan Ketua-ketua Daerah/Peti Undi. Senarai penuh akan dipaparkan di dalam blog pada masa akan datang.

:.:KPP:.:



Tugasan Pertama

Sebaik dipilih mengisi kepimpinan baru, JK Pemuda Umno Papar telah diamanahkan oleh pihak kepimpinan Bahagian untuk mengendalikan beberapa aspek Sidang Mesyuarat Tahunan Bahagian yang berlangsung pada 8 November 2008.

Antara tugasan yang digalas ialah proses pemberian nombor calon-calon yang bertanding dalam pelbagai jawatan peringkat induk Bahagian. Proses seterusnya yang dikendalikan oleh pihak Pemuda dengan kerjasama Pergerakan Wanita dan Pergerakan Puteri ialah sistem perjalanan pembuangan undi pada hari Mesyuarat 8 Nov 2008.

Alhamdulillah, Ketua Pemuda Umno Papar bersama Naibnya dengan dibantu oleh 15 AJK yang baru terpilih telah berjaya melaksanakan bahagian tugasan mereka dengan jayanya.
::KPP::

Tuesday, April 21, 2009

Kepimpinan Baru, Lembaran Baru: Suatu Mukadimah

Tarikh 25 Oktober 2008 (Sabtu) menyaksikan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian P.175 Papar, melaksanakan tanggungjawab dengan menzahirkan Persidangan Tahunan yang ke-16. Ianya berlangsung di Dewan Mesyuarat Borneo Paradise Kinarut.

Persidangan dirasmikan oleh Sdr Jamal Nerubi (mantan) Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Papar. Sebagai Ketua Pemuda yang menggalas tanggungjawab atas kapasiti berkenaan selama tiga penggal dan berada di atas pentas untuk kali terakhir atas jawatan tersebut, maka adalah normal bila keadaan mengharukan menyelubungi Dewan ketika beliau menyampaikan ucaptamanya.

Agenda Persidangan kemudian diteruskan dengan (mantan) Pengerusi Tetap, Sdr Mursid Hj Masi mengambil tempat mengemudikan Mesyuarat. Memandangkan Persidangan kali ini antara lain memilih kepimpinan baru, maka hampir semua jawatan kepimpinan Pemuda Bahagian dipertandingkan.

Persidangan kali ini melihat Pejabat Perhubungan Pemuda UMNO Negeri Sabah menghantar Tuan Hj Osman Ahmad, (mantan) Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sipitang dan Sdr Shahelmy Yahya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Putatan sebagai pemerhati. Sementara itu Bahagian UMNO Papar mengamanahkan Tuan Hj Yaman Ag Alli, Sdr Rahman Ahmad dan Sdr Sulaiman Osman sebagai wakil.

Alhamdulillah, kematangan Pemuda Papar terpapar apabila semuanya berjalan lancar walaupun suasana pertandingan agak ‘hangat’ dengan melibatkan 273 Perwakilan.

Dalam semangat menjunjung demokrasi dan kepatuhan kepada peraturan, syarat dan waad parti keramat UMNO, maka kepimpinan baru Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Papar yang dipilih secara suara majoriti pun terbentuk, seperti berikut:

Pengerusi Tetap Persidangan: Sdr A Bahrudin Ag Lampuh, Timbalan Pengerusi Tetap Persidangan: Sdr Muhammad Nazrey Ugun.

Ketua: Sdr Armizan@Amir Mohd Ali, Naib Ketua: Sdr Roslie Hj Ibrahim.

Manakala 15 Ahli Jawatankuasa terdiri daripada Sdr Anuar Matlin, Sdr M Jaya Sham Kassim, Sdr Hassan Sulaiman, Sdr Rashid Tahir, Sdr Rohan Ahmat, Sdr Rohzimi Kasim, Sdr Aiddie Dahlin, Tuan Hj Malim Hj Yusof, Sdr Abd Latif Jetun, Sdr Azlan Jumah, Sdr Abd Razak Abd Rashid, Sdr Malim Mohd Taif, Sdr Jamlih Nerubi, Sdr Abd Rahim Aliuddin dan Sdr Imbran Manik.

Sementara itu, 2 orang wakil yang terpilih untuk menghadiri Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Pusat pada Mac 2009 ialah Sdr Mohd Rosli Ibrahim dan Sdr Hassan Sulaiman.

Persidangan yang bermula pada jam 10:00 pagi ditangguhkan pada jam 5:00 petang dalam keadaan baik dan tenang.

Keharmonian Pemuda Papar itu melayakkan mereka disimpulkan sebagai komuniti yang sebati, serasi dan sejati.

.:KPP:.