Monday, November 22, 2010

Bajet Negeri Sabah 2011: Cadangan Pemuda UMNO Sabah Diterimapakai


Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2010 pada Oktober lepas, Pergerakan Pemuda UMNO Sabah melalui wakilnya Sdr Armizan Mohd Ali (Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Papar), ada membawa beberapa cadangan kepada Kerajaan.
::
Cadangan-cadangan yang dikemukakan melalui Usul Menyokong Ucapan Terima Kasih Terhadap Ucapan Dasar Ketua Pemuda Umno Malaysia dan disampaikan pada 20 Oktober 2010 di Dewan Merdeka PWTC, di antara lain berbunyi:


Kita mengetahui bahawa kerajaan mempunyai metodologi tertentu dalam perancangan pembangunan dan pengagihan peruntukan sama ada melalui Rancangan Lima Tahun atau Bajet Tahunan.


Pemuda Sabah mencadangkan agar dibuat sedikit pengubahsuaian dengan mempertingkatkan peruntukan yang disalurkan melalui wakil-wakil rakyat dan pemimpin masyarakat.


Kita perlu meningkatkan penghakupayaan atau empowerment kepada wakil-wakil rakyat atau pemimpinmasyarakat.


Ini adalah kerana kita melihat berbanding dengan projek-projek pembangunan yang turun ke sesuatu kawasan melalui perancangan berjadual kerajaan, rakyat akan lebih menghargai apabila sesuatu projek pembangunan yang mereka minta dan harapkan boleh diluluskan oleh wakil rakyat dan pemimpin masyarakat sertadilaksanakan dengan segera. Ini juga akan membantu keberkesanan program juara rakyat dan turun padang yang dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin parti.


Dalam melaksanakan perkara ini, kita juga berharap agar para wakil rakyat dapat memperluaskan penghakupayaan itu kepada pemimpin-pemimpin di peringkat sayap melalui pembentukan Majlis Pembangunan Kawasan yang bertanggungjawab meluluskan peruntukan. Pendekatan ini adalah lebih baik berbanding kelulusan perutukan hanya ditentukan oleh seorang individu.

Alhamdulillah! YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman, dalam membentangkan Bajet Negeri 2011 pada 19 Nov 2010 di Dewan Undangan Negeri Sabah, telah mengambil kira pandangan Pergerakan Pemuda UMNO Sabah ini dengan kelulusan peruntukan khas ADUN kepada RM1.0 juta setahun bagi setiap kawasan.
::
Berikut adalah petikan ucapan pembentangan YAB Ketua Menteri yang berkenaan:


Selain daripada peruntukan untuk maksud perbelanjaan yang telah dinyatakan tadi, tidak dinafikan bahawa masih terdapat keperluan-keperluan yang harus ditampung dan perlu diberikan perhatian yang sewajarnya di seluruh negeri.


Saya sedar, bahawa selama ini Ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa bekerja keras untuk menyelesaikan apa juga masalah rakyat di kawasan masing-masing. Sesungguhnya, rakyat sentiasa menaruh harapan yang tinggi terhadap kerajaan.


Mandat yang diberikan oleh rakyat tidak akan disia-siakan bahkan akan ditatang sebagaimana menatang minyak yang penuh. Cepat atau lambat, kerajaan berpegang pada prinsip, kata mesti dikota, janji mesti ditepati. Rakyat adalah pelanggan yang menjadi keutamaan kita.


Tiada yang lebih mustahak dalam pentadbiran ini melainkan menjaga kepentingan rakyat dengan membawa kemajuan dan kemakmuran demi kesejahteraan semua.


Oleh yang demikian, sukacita saya mengumumkan bahawa Peruntukan Khas bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri akan ditambah sebanyak RM 400 ribu, iaitu daripada RM 600 ribu kepada RM 1.0 juta mulai tahun hadapan.


Sayugia diingatkan, peruntukan khas yang diberikan ini adalah untuk dimanfaatkan secara adil dan bijaksana demi kepentingan rakyat yang memerlukannya.


Selain daripada itu, kebajikan rakyat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri wajar diberikan perhatian serius dan bantuan kepada golongan yang memerlukan hendaklah dipertingkatkan.


Sehubungan itu, bantuan kepada orang susah sebanyak RM 50 ribu setahun akan dinaikkan seratus peratus kepada RM 100 ribu untuk setiap Ahli Dewan Undangan Negeri.


Diharapkan dengan kenaikan tersebut, lebih ramai golongan susah dapat dibela dan diberikan bantuan.


Terima kasih kepada YAB Ketua Menteri kerana terus mengamalkan sikap keterbukaan serta prihatin dan tahniah juga diucapkan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sabah yang kapasiti mereka untuk mengupayakan khidmat ditambah lagi.
::
Semoga rakyat Sabah terus menerima benafaat terbaik daripada Kerajaan Barisan Nasional!



::KPP::

1 comment: